Indonesian
Friday 20th of October 2017
code: 82227
Muharram Bulan Kesedihan Bagi Mazhab Ahlul Bait

Oleh: syiahali
Bismillah dan Solawat

Allaahummal-a’n Qatalatal Hussein Alayhis Salaam

Awal Muharram, adalah permulaan bulan kedukaan dan nestapa untuk Ahlul Bait Rasulullah(as). Semua pencinta dan pengikut Keluarga suci ini juga akan dan sepatutnya turut menumpang kedukaan dan kesedihan mereka. Ia juga menandakan cuti bagi semua majlis-majlis dan upacara-upacara yang berunsur riang dan gembira.

Imam Reza(as) bersabda :

“Apabila sampai sahaja bulan Muharram, tidak akan kelihatan lagi senyuman pada bibir ayahku, tidak ada lagi seseorang yang akan melihatnya tersenyum”-Biharul Anwar. j 44, m/s 286.

Imam Reza(as) tentang Asyura juga telah bersabda :

“ Barangsiapa hari Asyura baginya adalah hari musibah, duka dan tangisan, maka Tuhan akan menjadikan kiamat baginya hari kegembiraan dan kebahagiaan”-Mishbah Kafa’mi, m/s 509.

Dua Muharram ; Rombongan Imam Hussain Alaihissalam Masuk ke Karbala

Telah diriwayatkan apabila rombongan Imam Hussain as. sampai di karbala, kuda Imam as. berhenti bergerak. Imam as. bertanya apakah nama tempat ini? Mereka menjawab :“Ghadhiriyah” bersabda: Tempat ini ada nama yang lain? Mereka berkata: “Syathiyil Furat” Imam as. kembali bersabda: “Apakah nama lain?” mereka berkata:”KARBALA”; hati Imam as. melirih duka dan bersabda : Ya ALLAH Aku berlindung kepadaMu dari bala bencana.(Luhuf, m/s 97, Fidhul ‘Alam, m/s 142)

Tiga Muharram; Tentera Umar Bin Saad Masuk ke Karbala

Selepas Hur mengepung Imam Hussain(as) dan rombongannya di Karbala, Ubaidullah Bin Ziyad telah meletakkan tanggungjawab sebagai pemimpin tentera Yazid kepada Umar Bin Saad. Umar Bin Saad pada Tiga Muharram, bersama enam ribu tentera perang datang ke Karbala. Kemudian bala’ tentera terus datang dari beberapa penjuru Negara sekitar Karbala yang telah di utuskan oleh Ubaidillah sehingga bilangannya mencecah 30,000 orang. (Syeikh Mufid, Irsyad, j2, m/s 84)


Surat Imam Hussain(as) untuk Ahli Kufah dan Syahidnya Qis Bin Mas-har
Pada tiga Muharram, Imam Hussain (as). menulis surat buat Ahli Kufah yang mengandungi peringatan tentang surat-surat dan jemputan-jemputan berterusan dari mereka yang telah diutuskan kepada Imam as. dan Imam as. meminta mereka menunaikan baiat dan perjanjian yang dijanjikan dan membantu Imam as; namun pembantu-pembantu Ubaidullah, telah menangkap Qis Bin Mas-har Shidawi yang merupakan pembawa surat Imam Hussain as. di tengah perjalanan dan membunuhnya. (Biharul Anwar, j44, m/s 381.)

Empat Muharram: Khutbah Ubaidullah Bin Ziyad di Masjid Kufah

Pada hari keempat Muharram, Ubaidillah Bin Ziyad telah berkhutbah dihadapan rakyat dan mengancam bunuh dan gantung bagi sesiapa sahaja yang membantu Imam Hussain as. Dan membaca fatwanya Syarih Qadhi berkenaan harusnya(halal) darah Husain(as) dan memerintahkan untuk menutup semua jalan-jalan keluar masuk kufah. (Al-Waqayi’ wal hawadis. J2, m/s123.)

Enam Muharram: Perbualan Habib Bin Mazhahir dengan Kabilah Bani Asad

Habib Bin Mazhahir dengan izin Imam Hussain(as) telah mengadakan perbincangan dengan Kabilah Bani Asad dan menjemput mereka untuk membantu Imam Hussain Alaihissalam; tetapi perbincangan ini gagal disebabkan halangan dan sabotaj oleh pengintip-pengintip Umar Bin Saad.(Az Madinah Ta Madinah ( Dari Madinah ke Madinah), m/s 368.)

Tujuh Muharram: Sekatan Air Sungai Furat bagi Rombongan Imam Hussain(as)

Pada hari ini, Tentera-tentera Umar Bin Saad dengan arahan Ubaidullah Bin Ziyad telah menyekat aliran air sungai Furat ke khemah-khemah Imam Hussain as.Diriwayatkan bahawa Hajjaj Zubaidi bersama lima ratus penunggang kuda, telah mengusai sungai Furat dan menutup aliran air dari mengalir ke khemah-khemahnya Imam(as).(Syeikh Mufid, Irsyad, j2, m/s86.)

Lapan Muharram: Pertemuan Imam Hussain(as) dengan Umar Bin Saad

Imam Hussain(as) dari awal tidak ridha akan tercetusnya perang yang akan menumpahkan darah ummat Islam dan Imam as. sentiasa berusaha untuk menghalang tercetusnya perang, pada hari kelapan Muharram, Imam as. telah bertemu dengan Umar Bin Saad dan cuba untuk menghidayah, menasihati dan membimbingnya, Imam as. meminta darinya sebagai ganti supaya tidak berperang dengan pergi ke salah satu sempadan-sempadan negara-negara Islam tanpa membaiat Yazid dan hidup seperti seorang yang beragama Islam.

Sembilan Muharram ( Hari tasu’a); Pemohonan Melambatkan Perang Dari Pihak Imam Hussain(as)

Asar hari kesembilan Muharram, Umar Bin Saad telah mengarahkan tentera-tenteranya untuk bergerak ke arah khemah Imam Hussain(as) dan memulakan peperangan. Dia berkata kepada mereka : “Wahai tentera Allah! Bergeraklah dan bergembiralah bahawa kamu akan pergi ke syurga!” (dia menyeru mereka sebagai Tentera Islam sedangkan mereka akan pergi berperang dengan putera Rasul mereka sendiri) Imam as. dengan melihat tentera-tentera musuh dan dengan mengetahui rancangan mereka, meminta adiknya Abbas untuk memohon dari mereka supaya menangguhkan perang pada esok hari dan memberikan tempoh kepada mereka, malam ini untuk Imam Hussain(as) menunaikan solat dan ibadah yang sangat dicintainya.(Muqtal Khawarizmi, j1, m/s 249; Luhuf, m/s 106.)


Menolak Surat Jaminan Keselamatan Syimr Kepada Hadrat Abal Fazl
Pada hari kesembilan Muharram, Syimr telah membawa surat jaminan keselamatan untuk Hadrat Abal Fazl Alaihissalam dan saudara-saudara lelakinya. Ketika Syimr sampai ke khemah-khemah Imam Hussain (as), dia berteriak dan menyeru : “Aku membawa surat jaminan keselamatan dari pihak Amir(pemimpin)Ubaidullah untuk kamu; janganlah kamu memberikan diri kamu sendiri untuk terbunuh demi Hussain(as).” Hadrat AbulFazl, umpama singa yang berani dengan suara yang kuat berkata : laknat Allah keatas kamu dan jaminan keselamatan kamu! Adakah kami berada dalam keadaan aman selamat sementara putera puterinya Rasulullah tidak berada dalam keadaan aman dan selamat?(Ansabil Asyraf, j3, m/s 184.)


Menggali Parit Di Sekeliling Khemah-Khemah Imam Hussain(as)
Pada Hari Kesembilan Muharram, Imam Hussain Alaihissalam telah mengarahkan penolong-penolongnya untuk membina parit di sekeliling khemah-khemah dan memenuhkannya dengan duri-duri supaya ketika perang, musuh-musuh tidak dapat menyerang mereka.(Al-Imam Al-Hussain Alaihissalam Wa Ashabihi, m/s 257.)


Bacaan Khutbah Imam Hussain (as)
Pada malam hari kesembilan Muharram, Imam Hussain(as) telah menyampaikan sebuah khutbah penting kepada para sahabat dan penolongnya dan bersabda : “ Sesungguhnya aku tidak mengetahui, penolong yang lebih baik dan paling setia daripada sahabat-sahabat dan penolong-penolongku…..Aku tahu bahawa esok kita akan berperang dengan mereka. Aku melepaskan semula baiat yang kamu berikan kepadaku dan memberi izin kepada kamu semua untuk menggunakan malam yang masih gelap ini untuk mencari jalan bergerak dan menjauhi tempat yang berbahaya dan ambillah setiap dari kamu, tangan seorang dari Ahlul Baitku dan tinggalkanlah tempat ini.”

Ketika itu, Ahlul Bait dan para sahabat Imam as., seorang selepas seorang bangun dan mengisyharkan tidak berganjak dari pengorbanan dan kesetiaan mereka kepada Imam as. sehingga menemui kesyahidan.

Sepuluh Muharram (Hari Asyura): Menyusun Barisan Tentera Imam Hussain(as)

Pada hari kesepuluh Muharram, selepas solat subuh, Imam Hussain(as) terlebih dahulu, tenteranya yang terdiri daripada tiga puluh dua tentera penunggang kuda dan empat puluh tentera pejalan kaki,membahagikan khemah-khemah kepada tiga bahagian dan melantik panglima bahagian kanan kepada Zuhir Bin Qin, panglima bahagian kiri kepada Habib Bin Mazhahir dan bahagian tengah kepada Hadrat Abbas(as).(Irsyad Syeikh Mufid, j2, m/s 95). Imam Hussain(as) ketika dua tentera (tentera Imam as. dan tentera musuh) telah berhadapan, Imam berkhutbah dengan jelas dan terang tentang martabat dan kedudukan Ahlul Bait (as), dan meminta untuk tidak memulakan dan mencetuskan perang; namun Imam as. tidak mendapat jawapan positif dari pihak tentera Umar Bin Saad. (Biharul Anwar, j45, m/s 6.).


Permulaan Perjuangan dan Pengorbanan Para Sahabat dan Ahlul Bait Alaihissalam
Umar Bin Saad memulakan perang dengan rasmi, dengan melepaskan anak panah ke arah pasukan tentera Imam Hussain Alaihissalam.(Luhuf, m/s 199.)


Solat Zohor Asyura
Pada hari Asyura, ketika sampai waktu solat zohor, Abu Thamamah Shidawi memberitahu Imam Hussain(as) tentang telah masuk waktu menunaikan solat zohor; Imam as. selepas mendoakankannya, lansung menunaikan solat bersama jamaah para sahabatnya di medan perang tersebut.(Biharul Anwar, j45, m/s 21)


Salam Perpisahan Imam Hussain(as) dengan Khemah-khemah beliau.
Selepas semua sahabat-sahabat dan Ahlul Bait Imam Hussain(as) telah terkorban dan syahid, Imam Hussain as. mula menyediakan dirinya untuk pergi ke medan perang dan juga turut syahid seperti para sahabat dan Ahlul Baitnya. Imam as. menuju ke khemah-khemah untuk melakukan perpisahan terakhir. Raungan dan tangisan para wanita dan anak perempuan memenuhi segenap khemah beliau.(Muqtalu Husain Alaihissalam, m/s 282.)


Syahidnya Imam Hussain(as)
Selepas zohor hari Asyura, ramai tentera musuh telah terkorban di tangan Imam Hussain(as).Ramai dari tentera-tentera Yazid yang kuat,berani dan ganas juga ditumpaskan sehingga tidak ada lagi yang berani untuk datang ke medan pertempuran.Imam Hussain(as) yang mula lemah dan tidak berupaya kesan dari terlalu banyak bertempur, panas dan dahaga, berdiri sebentar untuk sedikit berehat; tiba-tiba, seketul batu terkena dahi sucinya. Imam as. mengangkat bajunya untuk membersihkan wajahnya yang dilumuri darah, ketika itu juga anak panah tiga cabang dari busur Harmalah membelah dada suci Imam as. dan tentera-tentera Umar Bin Saad menyerang Imam as. dari semua arah dengan anak panah dan lembing. Imam as. jatuh dari kuda.Beberapa waktu berlalu yang boleh dikira panjang – di tanah Karbala, Imam as. terlantar dalam keadaan dilumuri dengan darahnya sendiri, tidak ada yang berani untuk menghampirinya;namun akhirnya Syimr Mal’un, dengan hati yang keras seperti batu menghampiri Imam as. dan membunuh Beliau as..Maka Imam as. telah syahid di tangan Mal’un tersebut. (Luhuf, m/s 180.)


Mencerobohi Khemah-khemah
Selepas kesyahidan Imam Hussain Alaihissalam pada petang hari Asyura dengan arahan Umar Bin Saad, tentera-tentera hati-hati yang hitam kotor, menyerang dan membakar khemah-khemah, dan kanak-kanak serta para wanita diheret di sahara Karbala yang panas membakar. (Biharul Anwar, j45, m/s 53; Muqtal Khawarizmi, j2, m/s 39; Kamil Ibnu Athir, j4, m/s 78.)

Bulan Muharram adalah bulan yang terkenal dikalangan pengikut mazhab Syiah sebagai masa untuk berkabung atas tragedi Karbala dan musibah yang menimpa Imam Hussain dan Syiahnya. Disamping kepentingan amalan-amalan berkabung, Ahlulbait(as) dan para ulama kita telah mengajarkan beberapa etika dan sikap yang mesti kita amalkan dalam tempoh ini. Adalah sangat-sangat mengecewakan apabila melihat ramai saudara-saudara kita gagal dalam mengikuti etika-etika ini. Beberapa amalah yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut:


Cara Untuk Berkabung
Saudara sekalian, adalah diriwayatkan bahawa adalah sangat-sangat digalakkan kita berkabung dengan cara menangisi tragedi ini. Kepada mereka yang tidak mampu untuk menangis, cukuplah sekadar menundukkan kepala dan buat seolah-olah menangis. Mungkin akan wujud sedikit perasaan ralat apabila menangis di hadapan kawan-kawan kita, tetapi janganlah kita sampai ke tahap mempermainkan orang-orang yang menangis ini.

Suka juga saya ingatkan di sini bahawa amalan tadbir(ketuk kepala dengan pedang) atau segala amalan merbahaya adalah sangat-sangat ditegah oleh jumhur para ulama Syiah sendiri. Maka eloklah kita beramal dengan cara yang boleh mendatangkan kesan kepada hati kita berbanding fizikal kita. Elakkan amalan-amalan yang menjatuhkan maruah Islam malah seperti meniru agama-agama lain(kavadi?). Jangan lupa prinsip asyura. Cukuplah habis kuat pun, sekadar menepuk dada bagi mendatangkan kesan sedih itu


Bersolek, berdandan dan berhias.
Nampak cantik sememangnya merupakan satu bonus kepada kaum hawa, tetapi yang menghairankan ialah mengapa perlunya mereka mengecat muka mereka secara berlebihan malah pergi ke saloon semata-mata untuk menggayakan rambut mereka semata-mata untuk ke majlis merupakan sesuatu yang luar dari pemahaman kita. Kepada saudara lelaki, berpada-padalah dengan gel rambut tu untuk beberapa hari, kita pergi ke majlis untuk berkabung bukan fesyen show


Perbincangan Kumpulan Semasa Majlis
Adalah sangat-sangat mengharukan apabila kita melihat sesetengah orang yang tiba-tiba tinggi semangatnya mendengar ucapan speaker, membina kumpulan perbincangan yang tersendiri di dalam majlis itu. Tetapi, kalaulah kita cuba untuk menyertai sendiri kumpulan-kumpulan mini ini, kita akan menjadi sangat-sangat terkejut dengan topik-topik yang dibincangkan. Kalau kumpulan hawa dok pompang pompang hal orang lain, kalau kaum adam pulak dok pompang-pompang bab politik sukan dan lain-lain. Mengapa mereka memilih waktu ini untuk membincangkan perkara-perkara ini adalah luar dari jangkauan pemikiran kita


Hiburan Ketika Masaib
Kalau kita memberikan pen dan kertas kepada anak-anak kecil sebagai “rasuah” kepada mereka agar mereka tidak berlari-lari ketika majlis, maka ia adalah satu perkara biasa. Bagaimanapun, akan menjadi sesuatu yang memeranjatkan apabila orang dewasa juga rupa-rupanya memerlukan “rasuah” ini agar mereka tidak bosan dan menganggu orang lain. Kepada mereka yang mempunyai tumpuan perhatian yang lemah, yang tidak dapat menahan diri dari bermesej atau main game di iphone, sekurang-kurangnya tolonglah berhenti ketika tragedi sedang dibacakan. Ini kerana adalah sangat sukar bagi kami untuk menumpukan perhatian kepada Maqtal tetapi dalam masa yang sama mendengar bunyi game dari iPhone kamu.

Riwayat dari para Maksumin dengan jelas mengatakan bahawa Asyura ialah hari untuk kita menonjolkan kesedihan kita secara terbuka. Maka ia bermaksud jangan mandi, tiada baju bersih, tiada berdandan dan apa sahaja ucapan kegembiraan. Adalah sangat menyedihkan apabila kita menjadikan keseluruhan hari ini sebagai hari untuk berjenaka, bergosip dan perbincangan tentang sesuatu yang tiada kena mengena dengan mengingati Imam Hussain(as). Asyura ini, demi membetulkan sifat kamu itu, maka bayangkanlah seluruh keluarga kamu dibunuh dihadapan mata kamu sendiri. Kemudian, bersikaplah dengan sewajarnya.


Mendermalah!
Demi melaksanakan aktiviti Muharram ini dengan lancar, maka kita memerlukan banyak logistik dari segi makanan, minuman dan kos-kos utiliti yang lain. Para ustaz dan syeikh yang dijemput perlu juga dibayar upah mereka walaupun mereka tidak meminta, kos kenduri yang kita makan pun bukanlah free, begitu juga bil-bil elektrik akibat aktiviti sempena Asyura pasti melonjak tinggi. Tidak dapat dinafikan, Allah swt maha pemurah dan maha kaya, tetapi sudah pasti wujud perantara dari mana sumber kewangan itu datang, sudah tentu, kamulah perantara itu. Jangan kedekut untuk menderma. Imam Ali(as) pernah berkata: “Jangan malu untuk memberi sedikit, kerana tidak memberi langsung itu lebih besar rasa malunya.”

Begitulah sedikit etika di bulan kesedihan ini, semoga kita dapat menghayati tragedi ini dan seterusnya memberikan impak yang besar terhadap keimanan kita, insyaAllah. Solawat!

user comment
 

latest article

  Ilmu Imam Ali as
  Rahasia Keagungan Sayidah Fatimah as
  Kepemimpinan Imam Sajjad as di Era Genting Sejarah Islam
  Melacak Jejak Kemunculan Syiah [I]
  Membimbing Orang Lain
  Pelajaran Tawadhu dari Imam As-sajjad
  Mutiara Hadis Imam Ali Zainal Abidin as.
  Doa Yang Menjadi ‘Pedang’ (1)
  Muharram Bulan Kesedihan Bagi Mazhab Ahlul Bait
  Peringatan Asyura, 10 Muharram